Sihir

Monday, November 17, 2008

Perut buncit pendek umur


LONDON: Satu kajian terbaru mendedahkan bahawa mereka yang berperut buncit dan mempunyai lemak berlebihan di sekeliling pinggang berdepan risiko dua kali ganda untuk mati pada usia muda.

Kajian membabitkan 350,000 orang di seluruh Eropah dan disiarkan Jurnal Perubatan New England edisi terbaru itu menyatakan, lebihan lemak di bahagian perut menjejaskan kesihatan walaupun jika seseorang itu tidak dikategorikan gemuk dan mempunyai berat badan keseluruhan yang normal.

Ketua kajian dari Institut Pemakanan Manusia Jerman di Potsdam-Rehbrucke, Dr Tobias Pischon, berkata kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa risiko mati pada usia muda bukan saja berpunca daripada kegemukan semata-mata tetapi juga disebabkan masalah pengedaran lemak dalam badan.

"Lemak di bahagian perut bukan saja menyimpan tenaga, tetapi merangsang pengeluaran sejenis hormon dikenali cytokines yang menyumbang kepada serangan penyakit kronik," katanya.

Beliau berkata, hasil kajian itu mencadangkan doktor agar mengira ukur lilit bahagian perut dan punggung pesakit, selain purata indeks jisim tubuh sebagai pemeriksaan asas yang mesti dilakukan ke atas pesakit.

Perbandingan yang dibuat ke atas pesakit dengan indeks jisim tubuh sama, menunjukkan bahawa risiko mati pada usia muda meningkat apabila ukur lilit pinggang mereka semakin besar.
"Risiko mati muda meningkat dua kali ganda bagi mereka yang mempunyai perut buncit iaitu lebih ukur lilit pinggang melebihi 120 sentimeter bagi lelaki dan lebih 100 sentimeter bagi wanita, berbanding mereka yang mempunyai ukur lilir lebih kecil iaitu kurang daripada 80 sentimeter bagi lelaki dan kurang 65 sentimeter bagi wanita," katanya.

Dr Pischon berkata, nisbah ukur lilit antara pinggang dengan punggung juga boleh menjadi penunjuk yang penting kepada keadaan kesihatan seseorang.

"Nisbah yang lebih kecil antara pinggang dan punggung menunjukkan risiko kesihatan yang lebih rendah berbanding nisbah yang lebih besar antara kedua-duanya," kata beliau. – Agensi

Sumber: Berita Harian Online

Saturday, November 15, 2008

NUTP tolak Sains, Matematik guna BI di sekolah rendah

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), semalam menolak pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di peringkat sekolah rendah.

Pendirian terbaru kesatuan mewakili 135,000 guru itu yang sebelum ini menyokong program dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2003 diputuskan ketika Persidangan Perwakilan NUTP ke-18 di Pulau Pinang pada 24 hingga 27 Ogos lalu.

Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata delegasi menolaknya selepas mendapati majoriti murid di sekolah rendah mengalami kesukaran mengikutinya terutama dari segi memahami istilah Sains serta Matematik dalam Bahasa Inggeris.

"Menerusi maklumat dan pandangan diterima daripada guru terbabit dalam PPSMI, murid di sekolah rendah terutama mereka di tahap satu (tahun satu hingga tiga) masih gagal menguasai istilah dua subjek itu ketika diajar dalam Bahasa Inggeris.

"Ia menyebabkan guru turut mengalami kesukaran mengajar kerana murid langsung tidak memahami apa yang diajar guru. Sehubungan itu, ahli menolak PSSMI di sekolah rendah kerana tiada faedah diperoleh jika situasi berkenaan berterusan. "Bagaimanapun, NUTP tetap menyokong pelaksanaan PSSMI di peringkat sekolah menengah kerana murid masih boleh mengikutinya dengan baik kerana sudah mendapat sedikit pendedahan dari segi istilah," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Pada 2002, Kabinet memutuskan Bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan serta kualiti murid bagi melahirkan modal insan berkualiti.

Keputusan sama ada pengajaran dan pembelajaran subjek itu akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia akan ditentukan pada akhir tahun ini dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan diambil kira dalam menentukannya.

Selain itu, Kementerian Pelajaran juga menggunakan resolusi Persidangan Meja Bulat PPSMI yang dianggotai tokoh akademik, penyelidik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meneliti laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan pelaksanaan PPSMI. Mengulas lanjut, Loke berkata, pendirian NUTP itu tidak bermaksud pihaknya menolak serta merta PPSMI di sekolah rendah sebaliknya mencadangkan supaya ia melalui proses penambahbaikan sebelum diperkenalkan semula.

"Kami mencadangkan supaya istilah Sains dan Matematik diajar dalam silibus subjek Bahasa Inggeris bermula dari peringkat prasekolah sehingga darjah tiga bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa berkenaan.

"Selepas yakin murid dari peringkat itu sudah boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula PPSMI di sistem pendidikan negara," katanya.

Oleh Amin Ridzuan Ishakaminridzuan@bharian.com.my

Penggunaan BI dalam UPSR 2008 belum membanggakan - Kesatuan Guru

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Hrkh) - Keputusan UPSR 2008 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak boleh dirumuskan bahawa murid-murid sudah boleh menerima Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana jurang perbezaan mereka di luar bandar dengan bandar masih besar, demikian menurut Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia Mohd Sabri Mohd Arshad.


Katanya, sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan.


"Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, Melayu atau Inggeris, ini memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh," katanya ketika dihubungi.
Beliau juga yakin, peratusan murid yang menggunakan Bahasa Inggeris masih lagi tahap yang rendah bagaimanapun keputusan itu disambut baik.


Dalam melaksanakan PPSMI, beliau menggesa kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran selaras dengan subjek bahasa lain.

"Sekarang ini pembelajaran BI untuk darjah satu hingga tiga hanya lapan waktu sahaja manakala empat hingga enam ada tujuh waktu sahaja, kelas ini perlu diperbanyakkan dan sukatan pula diperluaskan seperti mewujudkan kelas komunikasi dalam BI dan juga bahasa-bahasa lain termasuklah Bahasa Arab," katanya.


Sabri juga melahirkan kebimbangan kerana guru-guru yang ada tidak diberi intensif untuk memantapkan Bahasa Inggeri mereka sedangkan ramai di kalangan mereka tidak boleh menguasai bahasa itu.


"Guru-guru ini ada kemahiran tinggi dalam matematik dan sains tetapi mereka kurang menguasai Bahasa Inggeris, menyebabkan terpaksa mengajar dalam dua bahasa sekali gus ia membuang masa," katanya.


Menurut kerajaan, UPSR kali ini membuktikan pelaksanaan PPSMI sejak 2003 tidak menjejaskan prestasi murid, walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A menurun tetapi murid mendapat 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan. - mns_


Sumber: HarakahDaily.net

Saturday, November 8, 2008

Saturday, November 1, 2008