Sihir

Thursday, July 30, 2009

Dengki penyakit Orang Melayu?


Seringkali apabila dibincangkan mengenai “hasad dengki” bangsa Melayu menjadi rujukan. Hasad dengki seolah-olah sudah menjadi ’sinonim’ dengan masyarakat Melayu. Apakah bangsa lain selain Melayu tidak mempunyai sifat hasad dengki?. Memang hasad dengki itu merupakan ‘penyakit’ yang menimpa semua golongan bangsa di dunia ini.. namun persoalannya mengapakah ia begitu ketara dalam kalangan masyarakat Melayu berbanding masyarakat lain di Malaysia?. Sehinggakan apabila dibuat perbandingan ’sifat dengki’ di antara masyarakat Cina dan masyarakat Melayu di Malaysia, sudah tentu setiap tangan akan menuding kepada orang Melayu!.

Mengapakah terjadi sedemikian? Mengapakah segelintir manusia dalam masyarakat Melayu terus menghiaskan jiwa dan diri mereka dengan perasaan kotor hasad dengki itu sedangkan dalam masa yang sama menyedari bahawa ajaran Islam yang suci murni ini sentiasa memerangi sifat mazmumah tersebut?!. Sebenarnya, apakah itu hasad dan dengki? Hasad atau dengki ialah penyakit hati yang paling berbahaya yang terdapat pada manusia. Merujuk kepada kamus ‘al-mu’jam al’-Arabi al-Asasi’, hasad ditakrifkan sebagai suatu sifat dalam diri seseorang yang mengharapkan supaya nikmat yang ada pada seseorang itu berpindah kepadanya atau terhapus daripada orang itu. Hasad atau dengki juga merupakan perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan. Sifat dengki yang telah bertapak ‘kukuh’ dalam masyarakat Melayu telah berkembang dari semasa ke semasa.

Oleh itu, tidak hairan apabila didapati seorang Melayu yang agak berjaya dalam perniagaan contohnya, telah menjadi objek untuk dibenci dan didengki. Bukan itu sahaja, bahkan jatuh bangunnya seseorang pemimpin, kadang-kadang timbul hasil daripada hasad dengki. Kedengkian terhadap ‘kemenangan’ seseorang pemimpin itu tidak dapat diterima dengan reda. Sebaliknya kedengkian yang menguasai diri menyebabkan usaha dibuat agar menjatuhkan kembali pemimpin tersebut walau dengan cara yang ‘kotor’ dengan menyekat bantuan, peruntukan dan sebagainya walau terpaksa mengorbankan kepentingan rakyat dan masyarakat ramai yang lain. Hasad dengki juga telah menyebabkan jiran bertelingkah dan kawan menjadi musuh. Terdapat jiran yang tidak senang hati apabila melihat jiran sebelahnya membeli perabot baru, menukar kereta baru dan sebagainya.

Persaingan di tempat kerja untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan di sisi majikan juga dapat membibitkan perasaan hasad dengki di antara teman sekerja. Apa yang lebih dahsyat, seseorang yang tidak berjaya memusnahkan saingannya secara terbuka akibat hasad dengki yang meluap-luap, bertindak menggunakan ilmu hitam dan sihir seperti santau dan sebagainya. Ini semua sudah tentu mengundang kecelakaan di dunia dan di akhirat.

Orang Melayu yang mempunyai hasad dengki sebenarnya sama ada secara sedar atau pun tidak telah mewarisi sifat dan perangai iblis yang dimurkai Allah s.w.t. Ini kerana makhluk pertama yang menonjolkan hasad dan dengki ialah Iblis. Ketika Allah s.w.t. memerintahkan para malaikat dan Iblis sujud kepada nabi Adam, para malaikat mematuhi perintah Allah s.w.t., manakala Iblis mengingkarinya kerana berasa iri hati dan dengki terhadap nabi Adam dan berasa bahawa dia lebih baik daripada nabi Adam. Akibat kesombongan Iblis itu, Allah s.w.t. mengisytiharkannya sebagai penghuni neraka.

Justeru, apakah masyarakat Melayu kini yang sudah mendapat nikmat Islam dan Iman sanggup merelakan diri untuk menjadi ‘pewaris’ kepada Iblis dengan terus bergelumang dengan hasad dan dengki ini? Tepuk dada, tanya Iman!. Oleh yang demikian, menjadi suatu kemestian bagi masyarakat Melayu kini terutama bagi mereka yang sentiasa diulit dengan hasad dengki untuk kembali menghayati ajaran Islam yang murni agar sifat dengki yang tercela tersebut dapat dibuang dari dalam diri.

Hal ini kerana hasad dengki hanya akan menyebabkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan oleh seseorang. Apabila seorang Muslim melakukan kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut. Rasullullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Dengki ialah menghapuskan serta membinasakan segala kebajikan dan kebaikan, sebagaimana api yang membakar dan menghanguskan kayu”. (Hadis Riwayat Abu Daud). Sewajarnya juga setiap individu Muslim menyedari bahawa hasad dan dengki membawa kemudaratan dan kecelakaan yang besar bukan sekadar di akhirat, malahan kemudaratan juga akan berlaku di dunia lagi.

Mudarat dengki di dunia ialah seseorang yang berdengki itu akan berada dalam dukacita dan ’susah hati’ kerana tidak seronok melihat kebahagiaan orang lain, lalu jiwanya menjadi tidak tenang dan tidak tenteram selagi orang yang didengki itu terus mendapat nikmat dan kebaikan. Jiwa yang tenang dan resah-gelisah itu sudah tentu akan mengundang pelbagai penyakit dan implikasi yang buruk. Manakala di akhirat pula, dia akan mendapat balasan ’seksa’ sekiranya tidak bertaubat daripada sifat dengki yang tercela itu.

Tuesday, July 28, 2009

Bahaya berhutang



Islam adalah agama kemajuan dan kesejahteraan ummah dan manusia. Berjaya di dunia dan sejahtera di akhirat. Maka sesiapa yang berpegang teguh dengan ajarannya dan mengikuti pimpinannya, terjaminlah hubungan baiknya dengan Allah, erat pulalah tali silaturrahim sesama manusia.

Dalam melayari lautan hidup didapati nasib seseorang tidak sama. Malah berbeza-beza, ada yang kaya, maka senanglah dan bahagialah. Manakala yang miskin susahlah dan menderitalah sekalipun masing-masing telah bertungkus-lumus, berhempas-pulas berusaha mencari rezeki, ke-rana nasib baik dan buruk terletak pada kuasa dan pentadbiran Allah S.W.T. berdasarkan berbagai-bagai hikmah dan rahsia. Ini jelas difahami dari firman Allah dalam surah Az-Zukhruf ayat 32 yang bermaksud:

"(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian dan keagamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhan mu (Wahai Muhammad, dan seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengah yang lainnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengah yang lain, (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari setengah yang lain. Dan rahmat Tuhan mu (meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari semata-mata kebendaan dan keduniaan yang mereka kumpulkan".

Oleh yang demikian, terdapat berbagai-bagai cara, jalan dan kaedah yang dilalui oleh manusia untuk mendapatkan keselesaan hidup. Dan satu dari cara itu ialah berhutang. Berhutang sekalipun, Islam mengharuskannya bagi sesiapa dari umatnya yang terdesak. Namun, perbuatan (berhutang) itu tidaklah diharuskan dengan mudah, malah perlaksanaannya perlulah kepada beberapa syarat seperti yang terkandung di dalam al-Quran, firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah ayat 282:

Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah, dan janganlah dia mengurangjan sesuatupun dari hutang itu".

Oleh kerana berhutang itu suatu yang boleh menjejaskan dan mencemarkan maruah serta boleh menjatuhkan air muka dan peribadi. Maka di bawah ini diperturunkan beberapa hal dan perkara yang perlu atau wajib atas sese-orang yang berhutang supaya berfikir panjang, dengan harapan dia tidak akan melakukannya kecuali apabila benar-benar atau yang paling terdesak.

Pertama: Hutang adalah hak seseorang yang tertentu dan hak wajib dipulangkan dengan sempurna dan ia selalunya ditentukan masa penjelasannya (bayarannya), maka wajib ditepati janji itu tanpa berlengah-lengah sebab Rasulullah S.A.W. mengingatkan bahawa perbuatan melengah-lengahkan adalah satu kezaliman, sebagaimana sabdanya:"Orang yang melengah-lengahkan penjelasan hutang sedang dia mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian adalah se-orang yang zalim".

Kedua: Roh seseorang yang berhutang sehingga dia meninggal dunia dan tidak sempat menjelaskan hutangnya, maka rohnya tergantung-gantung di antara langit dan bumi (tidak menuju ketempat yang mulia) hinggalah dibayarkan balik hutang itu. Sabda Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:"Roh seorang mukmin yang berhutang jika hutangnya tidak dijelaskannya, maka tergantung-gantunglah ia di antara langit dan bumi, yang bererti tersiksalah roh itu hingga dibayarkan hutangnya itu".

Ketiga: Sebab itu, sesiapa dari umat Islam yang meninggal dunia wajib disegerakan pembayaran hutangnya sebelum dibahagi-bahagikan harta pusaka peninggalannya.

Keempat: Oleh kerana siksaan ke atas roh yang telah meninggal dunia (jika belum dijelaskan bayaran hutangnya), Rasulullah S.A.W. yang amat mengasihi setiap umatnya. Baginda sanggup membayarkannya sepertimana sabdanya, yang bermaksud: "Aku lebih utama dari diri setiap mukmin terhadap diri sendiri, maka barangsiapa yang meninggalkan hutang, akulah yang akan membayarkannya. Dan barangsiapa yang meninggalkan harta pusaka maka ahli warisnya yang berhak ke atas harta itu".
(HR Bukhari dan Muslim).

Kelima: Nabi S.A.W. yang mengasihi umatnya telah mengajar kita dengan doa supaya umatnya tidak terkena beban hutang. Sepertimana doanya:

Maksudnya:
“Ya Allah, Ya Tuhan ku, aku berlindung dengan Mu dari bebanan hutang yang berat dan dari kekerasan orang yang kejam”.

Keenam: Tersebut juga dalam Hadith Rasulullah S.A.W. yang lain, mengatakan bahawa seorang yang telah mati, bila Rasulullah S.A.W. diminta menyembahyangkan, Baginda enggan melakukannya setelah diberitahu bahawa si mati itu ada hutang yang belum diselesaikan, lalu menyuruh seorang sahabatnya yang hadir menyembahyangkannya.

Ringkasan pengajaran dari keaiban dan keburukan budaya berhutang itu ialah:

1. Amalan berhutang, jika dilakukan sekali, ia akan melarat sehingga menjadi kebiasaan (budaya), sebab orang yang berhutang terasa amat mudah atau senang memperolehinya tanpa memikirkan kewajipannya untuk membayar balik hutang itu dengan sempurna dan menepati tempohnya.

2. Orang yang berhutang, jika dia seorang yang kurang menjaga maruah atau tidak bersifat malu, maka dia tidak akan merasa apa-apa seperti segan silu berhadapan dengan kenalan atau sesiapa yang dia rasakan mudah untuk memberikannya pinjaman atau hutang itu.

3. Orang yang memiliki sifat-sifat mulia seperti pemalu, penyegan dan tinggi maruahnya. Pasti dia akan membayar segala hutangnya, tidak akan melarikan diri dari orang tempatnya berhutang dan tetap menjaga pergaulan dengan baik.

Oleh yang demikian, sebelum terjebak dalam perangkap budaya berhutang, umat Islam hendaklah belajar berdikari serta berusaha menghindari budaya suka berhutang. Sebab teramat banyak keburukannya seperti renggang hubungan silaturrahim, tidak disukai masyarakat atau kita sendiri hilang kawan. Dengan itu, sama-samalah kita jauhi budaya suka berhutang tanpa sebab yang wajar dan wajib, Islam mengajar kita supaya hidup dengan kadar sederhana mengikut kemampuan masing-masing.


Monday, July 27, 2009

ISA

TANYA mana-mana pegawai kanan Polis Cawangan Khas (Special Branch), apakah negara kita masih memerlukan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang lebih dikenali sebagai ISA? Jawapannya ialah sangat perlu.
Tanya lagi kenapa? Jawab mereka, ISA adalah undang-undang pencegahan yang membolehkan polis bertindak pantas untuk menghalang daripada berlaku insiden atau keadaan tidak aman yang lebih buruk dan mencemaskan negara. Jika sekadar menggunakan kuasa yang memerlukan proses perbicaraan yang panjang di mahkamah, ada kemungkinan keamanan tidak akan dapat dikawal sebagaimana yang dihasratkan.
Mereka juga menamakan Indonesia sebagai negara contoh yang paling dekat. Tidak seperti Malaysia dan Singapura yang mempunyai undang-undang penahanan tanpa perbicaraan, Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan telah menjadi sasaran insiden-insiden bom yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan negara itu dilabel kurang selamat oleh para pelabur asing dan pelancong.
Agak menarik, pakar-pakar bom yang dikaitkan dengan insiden-insiden pengganas di Indonesia adalah rakyat Malaysia . Siapa tidak kenal Azahari Husin dan Noordin Mohammad Top yang dikatakan menjadi dalang pengeboman di Bali yang menggemparkan seluruh dunia. Mereka adalah anggota-anggota kanan Jemaah Islamiah (JI) yang mahu mewujudkan pemerintahan Islam di seluruh rantau Nusantara ( Indonesia , Malaysia , Brunei , Filipina dan Singapura).
Pegawai-pegawai kanan Cawangan Khas berhujah, jika tidak disebabkan mempunyai ISA, sudah lama insiden-insiden pengeboman juga turut berlaku di Malaysia kerana pakar-pakar bom JI adalah rakyat Malaysia .
Menurut statistik, sebilangan besar yang masih ditahan di bawah ISA adalah anggota JI. Mereka ditahan sebelum sempat melaksanakan operasi keganasan yang mereka rancang.
Singapura juga turut menangkap beberapa anggota JI dengan menggunakan undang-undang yang sama.
Tanya pula mana-mana anggota pembangkang, jawapannya mereka ialah mansuhkan ISA segera! Dan mereka sedang memperhebatkan kempen untuk menghapuskan ISA berikutan penangkapan tiga orang baru-baru ini.
Mereka yang ditangkap ialah pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin; ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh, Teresa Kok dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng.
Teresa Kok dan Hoon Cheng telah dibebaskan, tapi Raja Petra terus ditahan selama dua tahun di Kamunting, Taiping. Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah undang-undang tanpa perbicaraan itu. Kali pertama pada 6 September 2002 bersama pemimpin-pemimpin parti Keadilan– Dr Badrulamin Bahrom, Mohamed Ezam Mohamed Nor, Tian Chua, Sari Sungib and Lokman Noor Adam.
Oleh kerana lebih ramai pembangkang yang ditahan berbanding penyokong kerajaan, maka kita boleh menerima dengan mudah kenapa pembangkang yang paling mahukan ISA dihapuskan.
Bagaimanapun, ketika ISA diteropong dan dibincangkan semula dengan hangat sekarang, ada juga suara-suara dari kabinet kerajaan Barisan Nasional sendiri yang mempersoal kewibawaan undang-undang tersebut walaupun belum ada yang menyokong sepenuhnya tuntutan pembangkang supaya ia sama sekali dihapuskan.
Paling menonjol ialah Datuk Zaid Ibrahim yang telah meletakkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (menteri de facto undang-undang) kerana tidak bersetuju ISA digunakan terhadap ahli-ahli politik.
Beliau berpendapat ISA digunakan terhadap anasir-anasir pengganas sahaja.
Seorang lagi menteri yang berpendidikan undang-undang, Datuk Rais Yatim (Menteri Luar) turut berpendapat bahawa ada ruang untuk mengkaji semula ISA.
Dalam masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Abdul Hamid Albar yang juga berkelulusan undang-undang mempertahankan kewajaran ISA. Suara Syed Hamid adalah pendirian rasmi kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga bekas Menteri Dalam Negeri sebelum ini.
Maka ternyata kini ada tiga pendirian berhubung kontroversi ISA sekarang. Kerajaan mahu ISA dikekalkan; pembangkang dari Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan Pas) mahu ia dihapuskan dan ada pula kalangan yang mahu ISA dikekalkan tapi dengan pindaan.
Rakyat biasa pada umumnya hanya menjadi pemerhati dan sedang melihat serta mendengar sahaja perbincangan isu ini. Sejauh mana ia boleh mempengaruhi sokongan politik mereka adalah bergantung kepada pihak mana mereka akan berikan undi jika pilihan raya diadakan.
Sebenarnya ISA bukanlah menjadi isu yang sangat mempengaruhi pengundi dalam pilihan-pilihan raya lalu, tidak seperti isu-isu periuk nasi terutama yang berkaitan harga minyak dan barang keperluan harian. Ini adalah kerana ISA belum pernah digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik dan tidak dilihat sebagai alat kezaliman untuk menyokong pemerintah. Jika ada dakwaan yang munuduh demikian, ia hanyalah dakwaan politik.
Bilangan yang ditangkap di bawah ISA hanya mencapai angka lebih kurang 100 orang sahaja dalam satu masa. Dengan mengambil kira rakyat Malaysia berjumlah lebih 27 juta, maka angka tersebut hanyalah setitik air dalam kolam yang besar. Jika jumlah yang ditahan mencapai lebih 1,000 orang, maka ia adalah satu fenomena yang memerlukan penjelasan pihak kerajaan melalui pembentangan kertas putih di Parlimen.
Malah jika kita meneliti senarai tahanan ISA yang diterbitkan oleh Aliran (lihat Aliran’s ISA Watch), seramai 22 daripada 63 tahanan ISA di Kamunting sekarang adalah warga asing.
Pihak pembangkang hanya mengemukakan hujah bahawa sebarang penahanan tanpa perbicaraan adalah satu kezaliman. Suara mereka adalah selari dengan perjuangan menegakkan hak asasi manusia yang dipelopori oleh Amerika Syarikat dan Britain .
Realitinya sekarang, Amerika Syarikat melalui Patriot Act dan Britain melalui Terrorist Act juga menahan sesiapa sahaja tanpa perbicaraan jika disyakki menjadi anasir atau penyokong keganasan. Maka suara pembangkang di Malaysia boleh dilihat bukanlah lagi suara global.
Malahan suara pembangkang boleh diandaikan sebagai suara berkepentingan peribadi. Mereka mahu ISA dihapuskan supaya mereka boleh bercakap dengan penuh kebebasan mengenai apa sahaja untuk mendapatkan sokongan politik, sekalipun mengenai perkara-perkara yang boleh mencetuskan pergaduhan dan huru-hara seperti isu-isu perkauman dan agama.
Selain membanteras ancaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), ISA juga telah digunakan terhadap anasir-anasir militan agama termasuk JI, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Al-Arqam dan Al-Ma’unah; dan mencegah pergaduhan kaum — peristiwa 13 Mei 1969, Ops Lalang 1987, Kampung Rawa 1998 dan Kampung Medan 2001.
ISA turut digunakan terhadap mereka yang terlibat dalam penyeludupan senjata api, pemalsuan dokumen dan wang serta penyeludupan manusia.
Kalangan yang menyokong ISA berhujah, proses mewujudkan dan mempertahankan keamanan bukan mudah. Ia memakan masa yang panjang, menggugat ekonomi dan memerlukan perbelanjaan negara yang besar.Sebaliknya keamanan yang dibina selama berpuluh-puluh tahun boleh diranapkan dalam sekelip mata melalui huru-hara.
Maka mereka berpendapat, jika ISA sangat diperlukan untuk menjaga keselamatan majoriti rakyat, kenapa ia perlu dihapuskan semata-mata atas tuntutan sebilangan orang yang mendapati undang-undang tersebut telah menyekat kebebasan mereka untuk berpolitik dengan cara sewenang-wenang.
Kalangan ini juga berhujah, rekod menunjukkan bahawa bilangan kecil yang ditahan tidak membuktikan ada penganiayaan, malah ia telah terbukti dapat melindungi negara dan rakyat.
Sebaliknya kalangan yang menuntut ISA digunakan hanya untuk membanteras pengganas disyorkan supaya merujuk kepada Polis Diraja Malaysia bagi mendengar hujah dan statistik mengenai bahaya pergaduhan kaum dan agama di Malaysia. Jika hanya Akta Hasutan digunakan, maka proses turun naik mahkamah akan memungkinkan tindakan terlalu lewat sehingga `nasi sudah menjadi bubur.’
Kini ada ura-ura untuk membentuk undang-undang mengenai hubungan kaum bagi menangani secara berasingan isu ini daripada peruntukan yang diberikan oleh ISA. Sebarang perbincangan dan perancangan ke arahnya hendaklah dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati kerana memnyesal kemudian tidak berguna.
Rakyat sebagai pengundi yang akan menentukan siapa yang akan memerintah perlu memikirkan perkara ini dengan penuh kewarasan.
Generasi muda yang tidak melalui zaman perang, komunis dan 13 Mei berkemungkinan mudah dipengaruhi untuk mempercayai bahawa ISA tidak sesuai lagi pada zaman demokrasi dan hak asasi.
Itulah juga yang disuarakan oleh pejuang-pejuang demokrasi dan hak asasi di Amerika dan Britain selama ini. Akhirnya mereka sendiri terpaksa menelan pahit realiti dan melakukan tindakan yang lebih kejam terhadap sesiapa yang mereka cap sebagai anasir pengganas tanpa memerlukan perbicaraan.
Pada hari ini semakin ramai yang mempercayai bahawa keamanan, kemajuan dan kemakmuran hanya boleh dicapai melalui pendidikan dan tindakan berdiplomasi yang menghormati demokrasi. Ini sebenarnya hanyalah slogan politik untuk mencapai kuasa melalui demokrasi. Ia disuarakan lantang oleh Amerika yang akhirnya menggunakan lebih banyak bom daripada Perang Dunia Kedua di Vietnam, Afghanistan dan Iraq untuk mempertahankan kuasa dunia mereka.
– malaysiaaktif. com

TAWAS tanda keprihatinan kerajaan negeri

SHAH ALAM - Usaha mewujudkan keseimbangan dalam segala aspek pembangunan amat penting bagi Selangor mengekalkan status negeri maju.
Sehubungan itu, barisan kepimpinan baru yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini sejak Mac lalu merencanakan agenda negeri dengan menyusun pelbagai strategi pembangunan yang merentasi kaum, agama dan peringkat umur agar matlamat yang diingini, tercapai.
Sempena 100 Hari pentadbiran kerajaan baru pada 20 Jun lepas, Kerajaan Negeri Selangor melancarkan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi manfaat rakyat di negeri ini.
Kerajaan negeri telah mengumumkan tujuh dasar barunya bermula dengan pemberian 20 meter padu air percuma, seterusnya kerajaan negeri turut melancarkan enam program lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) antara tujuh dasar baru yang dicanangkan oleh kerajaan negeri.
Tabung berkenaan telah dilancarkan pada malam sambutan ambang merdeka Ogos lepas oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan ia merupakan tanda kasih serta keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyatnya.
Sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan tabung seumpama, program ini dilihat dapat membantu meringankan beban rakyat.
Ketua TAWAS, Dr Mohamed Khairi Mohd Isa berkata, penubuhan tabung berkenaan adalah hasil inisiatif Abdul Khalid yang mahu memastikan kerajaan PR Selangor mengutamakan kebajikan rakyat yang telah memilih mereka pada pilihan raya umum lalu.
“Program TAWAS ini merupakan lanjutan pengalaman dan idea Abdul Khalid sendiri, seperti yang dihasratkan oleh beliau sebelum ini yang mahu kebajikan rakyat diutamakan agar mereka dapat berkongsi hasil pembangunan secara adil, ” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau menjelaskan tabung itu lahir berdasarkan kesedaran pucuk pimpinan PR yang merasakan kekayaan sesuatu negeri itu tidak bermakna jika ia tidak dikongsi bersama rakyat.
“Tabung itu merupakan hadiah daripada misi Menteri Besar kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Menceritakan keunikan tabung tersebut, Dr Khairi berkata ia mampu dinikmati semua kaum di Selangor tanpa mengira kelompok, bangsa atau agama tertentu.
“TAWAS mensasarkan bayi yang lahir pada 1 Januari 2008 dan syarat layak membuka tabung ini, ibu atau bapa lahir di Selangor,” katanya.
Tabung itu turut terbuka kepada ibu bapa warga Selangor yang melahirkan anak di luar negeri Selangor.
Menurutnya, kerajaan negeri hendak memberi tabungan permulaan sebanyak RM100 bagi setiap seorang dan setiap bayi yang menyertai program tabungan itu bakal dilindungi insurans sehingga mereka berusia 18 tahun.
“Setelah genap usia 18 tahun, anak-anak yang mengikuti program TAWAS berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil caruman dalam dana pelaburan tersebut,” katanya.
Tambah Dr Khairi, bagi ibu bapa yang memenuhi syarat yang ditetapkan, mereka boleh mendapatkan borang rasmi dan menyerahkan borang tersebut bersama dokumen yang diperlukan di Pusat Khidmat MES di lobi Bangunan SSAAS.
“Setiap pendaftaran yang dibuat diberi sijil pelaburan sebagai bukti caruman,” katanya.
Ketika menjelaskan bilangan keahlian setakat Oktober 2008, Dr Khairi berkata pihaknya kini menerima 500 orang keahlian.
Katanya jumlah itu masih sedikit jika dibandingkan dengan anggaran yang dibuat oleh pihaknya iaitu sebanyak 66,000 (untuk tahun ini) peserta yang layak dan memenuhi syarat.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau memberitahu pihaknya kini sedang berusaha memperkenalkan program berkenaan sehingga ke akar umbi memandangkan rakyat negeri ini masih belum sedar terhadap kewujudan tabung tersebut.
“Misi kami sekarang untuk menyebarkan maklumat dan menaikkan lebih banyak pendaftaran melalui penyertaan dalam program yang dianjurkan oleh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.
Selain kempen, Dr Khairi berkata pihaknya juga berhasrat menyebarkan semua maklumat kepada pejabat daerah, pejabat kerajaan tempatan, hospital, klinik dan sebagainya bagi meningkatkan jumlah penyertaan sedia ada.
SINAR HARIAN Jumaat 17/10/08

Friday, July 10, 2009

GANJARAN RM10,000 KEPADA PEMBERI MAKLUMAT SEHINGGA TERTANGKAPNYA ABDUL KAHAR BIN AHMAD JALAL


Kepada orang awam yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Abdul Kahar bin Ahmad Jalal (500427-10-5719) akan menerima ganjaran sebanyak RM10,000 sebagai saguhati.
Keputusan ini telah diputuskan semasa Mesyuarat MAIS pada 14 Mei 2009 yang lalu.
Ganjaran akan diberikan kepada mereka yang dapat memberi maklumat yang tepat dan sahih. Orang awam boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian berikut sekiranya mempunyai maklumat:-

1-800-88-2424
03-5519 0930
03-5519 0398

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI Dimansuhkan Mulai 2012, Kemenangan Buat Rakyat


Oleh: addin_77

"Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengumuman itu, susulan keputusan mingguan jemaah menteri pagi ini, dibuat jam 2.30 di kementeriannya di Putrajaya.

Di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik, sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing.

Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara. Selain memimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang mengepalai demonstrasi besar itu, tokoh sastera Datuk A Samad Said juga menyertai sekumpulan 5 sasterawan Negara membantah dasar itu dan mencipta rekod bantahan golongan budayawan Melayu.

Ini merupakan kemenangan bagi rakyat yang menentang habis-habisan kerana dasar ini secara jelas telah meminggirkan bahasa ibunda. Dasar ini secara terang telah memangsakan golongan bumiputra dan golongan luar bandar. Ini merupakan satu dasar yang gila apabila, subjek Matematik yang memerlukan pengiraan di ajar dalam bahasa Inggeris. Dengan kekurangan tenaga pengajar mahir, kemerosotan pencapaian dalam 2 mata pelajaran tersebut adalah merupakan satu indikator yang gagal bagi dasar tersebut. Sekali lagi syabas rakyat Malaysia, anda telah menjuarai isu ini.

http://addin77.blogspot.com/