Sihir

Sunday, January 17, 2010

Genetik



Genetik merupakan bidang sains yang mengkaji fenomena pewarisan dan variasi dalam kesemua makhluk hidup, samada manusia mahupun bakteria.
Istilah "genetik" pertama kali diperkenalkan oleh pakar genetik British William Bateson. Beliau juga bertanggungjawab dalam memperkembangkan penemuan kajian Gregor Mendel.
Dalam organisma hidup, maklumat genetik disimpan dalam kromosom yang dibentuk daripada molekul DNA dan sejenis protein yang dikenali sebagai histon. Maklumat genetik perlu berinteraksi bersama faktor luaran yang lain seperti permakanan dan persekitaran untuk menentukan faktor fizikal dan perlakuan organisma secara keseluruhan.

Kini bidang genetik boleh dibahagikan kepada dua peringkat: genetik klasik dan genetik molekul. Sebahagian besar genetik klasik merupakan sumbangan ujikaji Gregor Mendel dan penemuan gen-gen terangkai. Genetik molekul terbit daripada penemuan kod genetik dan perkembangan teknik pengklonan. Walaupun genetik molekul lebih berguna dari segi aplikasinya dalam perubatan dan forensik, genetik klasik masih digunapakai.

Apakah itu pengajaran?


Melalui kajian Wan Zah Wan Ali (2000) terhadap sekumpulan guru pelatih di kampus Universiti Putera Malaysia, pengajaran didapati mempunyai banyak erti dan ia boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu pengajaran sebagai:
- menyampaikan maklumat
- memindahkan maklumat
- mendorong pembelajaran, dan
- membina manusia yang lebih baik.

Didapati 32% pelajar dalam kajian ini mentafsirkan pengajaran dalam kategori menyampaikan dan memindahkan maklumat. Ertinya, pengajaran tertumpu kepada guru. Guru adalah orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan dan memindahkan segala maklumat ke dalam minda. Maka, pelajar merupakan unsur yang pasif, sekadar menerima sahaja apa yang diberikan.

Didapati 68% pelajar tergolong dalam kategori terakhir. Jelas sekali di sini, pengajaran difahami sebagai proses dua hala, perkongsian antara pelajar dan guru bagi memahami segala macam pengetahuan yang diperlukan bagi pembinaan manusia sebenar. Konsep pengajaran serupa inilah yang harus menjadi pegangan setiap guru.

Dakwaan ini adalah berasaskan kepada tafsiran kebanyakan penyelidik di bidang ini (Ramsden, 1993: Trigwel, Prosser & Lyons, 1997). Mereka memahami pengajaran sebagai:

'Proses bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk belajar. Ia melibatkan usaha mencari dan mengenal pasti salah tafsiran pelajar terhadap sesuatu yang diajarkan, mengambil tindakan untuk memastikan perubahan kefahaman dan mencipta konteks pembelajaran yang menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelajaran yang diikuti. '

Teliti tafsiran ini dengan lebih terperinci.

Pertama, pengajaran adalah proses yang memerlukan guru dan pelajar bekerja bersama, bukan satu pihak sahaja.

Kedua, usaha yang ditumpukan dalam kerjasama ini dijuruskan kearah satu tujuan, iaitu membantu pelajar belajar. Apakah belajar yang dimaksudkan di sini? Menurut Ramsden (1988), belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan:

Satu pergerakan kearah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks, mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar, dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dalam menyelesaikan masalah di luar kelas. Ertinya pembelajaran itu berguna bagi mentafsirkan dunia yang kita diami ini. Pembelajaran yang sebenar dapat mengubah kefahaman seseorang mengenai sesuatu.

Tafsiran di atas jelas menegaskan bahawa belajar itu bukan usaha mengembangkan minda dengan mengutip segala maklumat tanpa berfikir. Belajar menjadi bermakna apabila wujudnya perubahan dalam cara berfikir atau melihat Pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila ilmu dapat diaplikasikan hingga menimbulkan rasa puas di jiwa dan apabila dunia ini semakin difahami hingga kehidupan menjadi lebih bererti. Untuk tujuan itu, pelajar perlu dibimbing untuk berfikir dan berusaha mencari pengertian terhadap setiap perkara yang dipelajari. Daripada pengertian ini akan memungkinkan penggunaan dan pencetusan ilmu yang memberi kesejahteraan manusia sejagat.

Pendirian ini seiring dengan pandangan Pullias dan Young (1968), yang menyatakan pengajaran itu keseluruhannya merupakan cara membimbing murid untuk memperoleh sejumlah pengalaman yang cukup bermutu hingga mampu sejauh mungkin menolong pembinaan kemungkinan-kemungkinan sebagai manusia. Manusia boleh menjadi pemikir, pemaham, pembangun dan pencari penuh daya gerak jika mereka dibimbing dengan cinta dan kebenaran, bukan dengan kebencian dan tengking herdik.

Menyentuh tentang manusia dan kefahaman, Oakeshott berkata:

“Nobody is born a human being. A human being is the inhabitant of a world composed not of things, but of meaning.”

Pernyataan ini walaupun agak ekstrim tetapi itulah kenyataannya. Manusia yang hanya mempunyai jasad tetapi kosong minadnya (tidak dapat memahami apa yang ada di sekitarnya) bukanlah manusia. Misalnya, seseorang yang membuang sampah di merata-rata kerana tidak faham atau sengaja tidak faham kesannya, maka mereka boleh dianggap bukan manusia. Orang yang benar-benar memahami tidak akan melakukan perkara seperti ini.

Sebagai rumusan , konsep pengajaran yang dikemukakan adalah untuk melahirkan pembelajaran yang berkualiti. Apa yang menjadi inti pati konsep ini ialah untuk membebaskan manusia daripada ikatan pandangan yang sempit dan terbatas. Ini hanya dapat dicapai jika manusia didorong untuk mencari makna, memahami dan melihat reality seperti adanya.

Friday, January 15, 2010

Nilai & etika Perkhidmatan Awam



PENDAHULUAN
Sebuah kerajaan yang memerintah bertanggungjawab menggubal dasar-dasar dan peraturan-peraturan yang difikirkan perlu untuk mencapai matlamat sosio-ekonomi dan wawasan negara. Perkhidmatan Awam merupakan institusi penting bagi melaksanakan dasar yang digubal dalam membantu usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berasaskan kepada nilai-nilai murni sejagat. Keberkesanan dan kecekapan jentera pelaksanaan mendukung pembangunan negara meningkatkan kualiti penghidupan rakyat di negara ini.

Untuk mencapai matlamat ini, jentera pentadbiran awam dikemaskini bagi memenuhi sebarang keperluan mengikut perubahan persekitaran dan cabaran semasa. Penjawat Perkhidmatan Awam pula dikehendaki menghayati dan menanam sikap dan nilai positif agar ia menjadi teras atau tunggak kepada keperibadian dan tatakelakuan anggota Perkhidmatan Awam. Pelbagai dasar dan program telah dilaksanakan oleh Kerajaan secara berterusan agar penanaman dan penghayatan sikap dan nilai murni diamalkan oleh anggota Kerajaan. Di antaranya ialah:

Teras Perkhidmatan Awam
Bersih, Cekap dan Amanah
Penerapan Nilai-nilai Murni
Kepimpinan Melalui Teladan
Pemakaian Tanda Nama
Kad Perakam Waktu
Pekeliling-pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam

Untuk melaksanakan etika kerja yang baik anggota perkhidmatan awam perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Anggota Perkhidmatan Awam, disamping perlu memiliki nilai dan sikap yang positif, seharusnya juga mencari pendekatan baru bagi meningkatkan kepakaran agar mereka lebih cekap dan inovatif ke arah menyumbang kepada pembangunan negara.

DEFINISI NILAI DAN ETIKA
Nilai ditakrifkan sebagai kehendak dan keinginan yang mendorong seseorang atau sesebuah institusi untuk bertindak mengikut pemilihan berasaskan norma-norma utama meliputi perilaku dan amalan masyarakat; manakala Etika pula bermaksud tanggungjawab dan tingkah laku seseorang atau profesyen terhadap masyarakat/pelanggan.

RASIONAL
Keberkesanan untuk mewujudkan sesebuah tamadun bagi negara bergantung kepada idealisme dan motivasi setiap individu dan institusi sosial termasuk Perkhidmatan Awam. Anggota Perkhidmatan Awam berperanan sebagai “Stewardship” negara bagi mempertahankan kepentingan awam dan keadilan bagi semua rakyat dalam pembentukan sistem sosio-ekonomi negara. Anggota Perkhidmatan Awam di Malaysia mempunyai empat peranan utama dalam pembangunan negara iaitu:

Perkhidmatan Awam adalah satu institusi utama masyarakat dan negara.
Perkhidmatan Awam memberikan perkhidmatan kepada Raja, Kerajaan dan rakyat dengan penuh kesetiaan.
Perkhidmatan Awam bertanggungjawab membentuk satu masyarakat yang adil dengan sistem ekonomi terbuka yang berpandukan kepada kepentingan awam, menjaga keamanan dan perundangan, menggalakkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan tamadun.
Perkhidmatan Awam menjalankan hak-hak dan kuasa-kuasanya dengan penuh tanggungjawab serta berlaku adil kepada rakyat yang menerima khidmatnya.

TERAS PERKHIDMATAN AWAM
Etika Perkhidmatan Awam telah dilancarkan pada tahun 1979 melalui Buku Perkhidmatan Cemerlang dan bertujuan:

Mengekal dan memelihara kepercayaan terhadap tugas yang diberikan.
Memupuk tanggungjawab bersama, mengeratkan perhubungan dengan kakitangan dan mewujudkan suasana yang sihat dan cekap dalam perkhidmatan.
Membentuk sikap dan pembawaan anggota Perkhidmatan Awam bersesuaian dengan semangat Rukunegara.

Tujuh Teras Etika Perkhidmatan adalah:

Berazam meningkatkan mutu perkhidmatan
Bekerja dengan penuh tanggungjawab
Berusaha mengikis sikap mementingkan diri
Bekerja dengan penuh muhibbah dan kemesraan
Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara
Bekerjasama dalam membenteras kelemahan dan musuh negara
Berpegang teguh kepada ajaran agama

Oleh yang demikian, kefahaman terhadap Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam amatlah penting kerana ianya:
Menentukan arah dan memberikan makna kepada pemikiran, tindakan dan tingkah laku anggota Perkhidmatan Awam bagi memenuhi tanggungjawab dan amanah sebagai pekerja negara.
Memberi penyatuan dan penyelarasan di antara anggota-anggota Perkhidmatan Awam sebagai institusi utama yang memberi sumbangan kepada pembangunan tamadun masyarakat.
Merupakan standard mutlak bagi mendorong anggota Perkhidmatan Awam berkhidmat dengan ikhlas dan berkesan.

Adalah wajar nilai-nilai dan etika Perkhidmatan Awam dijelaskan secara terperinci dan mendalam meliputi apa yang telah dinamakan sebagai Tonggak Duabelas (The Twelve Pillars) iaitu:

Menghargai Masa
Ketekunan Membawa Kejayaan
Keseronokan Bekerja
Kemuliaan Kesederhanaan
Ketinggian Peribadi
Kekuatan Sifat Baik Hati
Pengaruh Teladan
Kewajipan Menjalankan Tugas
Kebijaksanaan Berkhidmat
Keutamaan Kesabaran
Peningkatan Bakat
Nikmat Mencipta

Wednesday, January 13, 2010

Tinggal 10 tahun lagi...

Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia-Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".

Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.

Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.
Objektif di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan/rintangan yang dianggap sebagai cabaran. Di bawah ini diperturunkan sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:

(i) Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

(iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

(iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;

(v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

(vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;

(vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

(viii) Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan

(ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-

(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.

(ii) Negara Perindustrian Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.

Pernyataan Wawasan ini adalah merupakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.

(iv) Moral dan Etika Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.

(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna .
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.

Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

Friday, January 1, 2010

Hadiah Tahun Baru - Harga Gula Naik Lagi !



Gula merupakan sejenis pemanis yang telah digunakan oleh manusia sejak 2000 tahun dahulu untuk mengubah rasa dan sifat makanan dan minuman. Dalam kegunaan am, orang-orang yang bukan ahli sains menggunakan perkataan "gula" untuk bermaksud sukrosa atau sakarosa yang merupakan disakarida berhablur yang berwarna putih. Gula yang dibuat secara dagangan datang daripada pokok tebu atau pokok bit gula. Dalam senarai ramuan, mana-mana satu perkataan yang berakhir dengan "osa" mungkin merupakan gula. Dalam istilah masakan, gula dikenali sebagai makanan yang memberikan rasa manis

Jenis gula

Monosakarida

Monosakarida atau gula ringkas menyimpan tenaga yang boleh digunakan oleh sel-sel biologi. Gula ini mempunyai satu molekul sahaja.

Glukosa terdapat dalam dekstrosa dan gula darah
Fruktosa atau levulosa terdapat dalam gula buah.
Galaktosa terdapat dalam susu.

Disakarida

Sukrosa, salah satu disakarida glukosa, dan fruktosa yang merupakan molekul penting di dalam badan.

Disakarida merupakan dua molekul yang diikat melalui pemeluwapan:

-Sukrosa yang terdapat dalam gula pasir merupakan gabungan satu molekul glukosa dengan satu molekul fruktosa.
-Laktosa yang terdapat dalam gula susu merupakan gabungan molekul glukosa dengan molekul galaktosa.
-Maltosa yang terdapat dalam gula malt merupakan gabungan dua molekul glukosa


Rujukan : http://ms.wikipedia.org